Paradigma umum masyarakat tentang perubatan Islam lebih menjurus kepada rawatan berhubung gangguan makhluk halus berkaitan jin dan syaitan. Namun hakikatnya, perubatan Islam membawa suatu perspektif yang lebih luas lagi, bukan sekadar mencakupi pemahaman di atas. Tujuan utama perubatan Islam adalah atas dasar dakwah. Usaha dakwah yang ditunjangi oleh perubatan Islam ini cukup unik, kerana ia melibatkan dakwah terhadap dua alam, iaitu alam nyata dan alam ghaib.
Dakwah Di Alam Nyata
Dakwah di alam nyata melibatkan hubungan sesama manusia (hablum minannas). Melalui perubatan Islam akan terbina hubungan di antara perawat dan juga pesakit serta waris pesakit. Ini sebenarnya suatu agenda yang cukup besar yang jarang dipergunakan oleh para perawat kerana pertemuan yang dirancang oleh Allah s.w.t merupakan suatu penyatuan ukhuwwah sesama insan. Ukhuwwah inilah yang menjadi titik tolak kepada berkembangnya usaha dakwah sesama ummah. Dasar sebegini yang akan mengukuhkan hubungan manusia dengan Allah s.w.t (hablum minallah).
Setiap pesakit atau waris pesakit datang dengan pelbagai hajat serta membawa bersama sejuta harapan. Pesakit yang datang dengan perbezaan taraf ketaqwaan, pelbagai tahap latar belakang kehidupan. Maka ruang inilah yang seharusnya digunakan sebagai usaha dakwah kepada pesakit, danpengukuhan diri perawat.
Dakwah kepada pesakit
- Kefahaman konsep musibah dan ujian Allah s.w.t
- Kefahaman berkenaan falsafah rawatan Islam
Pengukuhan kepada perawat
- Mendalami dan memperkukuh pengalaman merawat
- Muhasabah berkenaan musibah yang dihadapi pesakit
- Mempertingkat ilmu perubatan Islam
“Wajiblah ada di antara kamu satu umat (golongan) yang menyeru (manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat yang jahat. Maka itulah orang yang berjaya (bahagia).”
(Surah al-Imran : 104)
Di dalam firman-Nya yang lain Allah s.w.t menegaskan :
“Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.”
(Surah at-Taubah : 71)
Konsep membina hubungan yang penulis maksudkan adalah perawat perlu memberi ruang kepada pesakit dan warisnya untuk meluahkan masalah yang dihadapi agar perawat dapat menjiwai masalah pesakit di samping membolehkan perawat membuat diagnosis simptom-simptom gangguan dan permasalahan pada pesakit.
Peranan perawat adalah membantu pesakit menyingkap hikmah yang tersirat di sebalik masalah yang tersurat agar ia dapat merasai kemanisan di sebalik ujian Allah s.w.t.
Dakwah Terhadap Jin
Suatu keistimewaan yang wujud menerusi medium perubatan Islam adalah adanya ruang bagi mentarbiah jin yang mengganggu manusia dan membuat kerosakan di bumi Allah ini. Usaha dakwah kepada golongan jin yang kufur kepada Allah, melakukan pelbagai bentuk kezaliman dan kemungkaran agar menyesali perbuatannya dan menuruti jalan yang diredhai Allah merupakan suatu usaha murni. Di antara manfaat besar melalui usaha ini adalah dengan mengIslamkan golongan jin ini.
“Barangsiapa yang mengIslamkan puak yang kafir pahalanya umpama langit dan bumi.”
Inilah ganjaran yang cukup besar yang kadangkala sukar diperolehi dalam mengIslami sesama manusia, namun berbeza dalam mentarbiah golongan jin.
No comments:
Post a Comment
Dah datang tu rajin-rajin lah comment okayyy! =D